Demam Piala Dunia 2014 Bakal Melanda

BAHANG Piala Dunia 2014 semakin terasa. Penantian selama empat tahun kian berakhir. Tahun 2014 adalah merupakan tahun yang ditunggu-tunggu oleh jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia.
Tarikh 12 Jun 2014 akan menjadi tarikh keramat kaki-kaki bola. Brazil yang merupakan antara kuasa besar dalam dunia bola sepak telah dipilih menjadi tuan rumah bagi acara yang berprestij tinggi ini.

Kali terakhir Brazil menjadi tuan rumah Piala Dunia ini adalah pada tahun 1950 yang mana ketika itu juara Piala Dunia adalah Uruguay.

Sebanyak 32 buah negara atau pasukan akan berentap di Brazil. Sudah pastilah mata-mata peminat bola akan tertumpu kepada pasukan kegemaran mereka seperti Brazil, Argentina, Sepanyol, England, Itali, Belanda mahupun Jerman.
Tidak ketinggalan kepada wakil daripada Asia iaitu Korea Selatan dan Jepun.

Namun persoalannya, siapakah yang bakal menjulang piala keramat ini? Bagi peminat Liga Perdana Inggeris (EPL), sudah pastilah pilihan mereka tertumpu kepada pasukan England.
Dengan barisan pemain handalan EPL seperti Rooney, Lampard, Terry sudah pastilah England menjadi harapan mereka meskipun hanya memenangi piala tersebut pada tahun 1966.

Sepanyol yang merupakan juara Piala Dunia 2010 dan juara Euro 2012 juga merupakan antara pasukan 'favourite' para peminat sukan bola sepak. Dibarisi pemain-pemain yang didominasi oleh pasukan Real Madrid dan Barcelona, Sepanyol dilihat pasukan yang bakal mengulangi kejuaraan.

Namun, pasukan tuan rumah iaitu Brazil tidak harus dipandang remeh. Berbekalkan laman sendiri, Brazil dilihat seolah-olah tidak mempunyai masalah berdepan dengan 31 buah pasukan yang lain.

Ini ditambah dengan kemenangan 3-0 ke atas Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi 2013, menyuntik semangat bahawa Brazil bakal membawa pulang Piala Dunia 2014.
Jerman juga tidak harus dipandang sepi. Pasukan yang diterajui oleh Joachim Löw ini bukan merupakan calang-calang pasukan.

Tidak pernah kalah dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia 2014 dan tidak pernah kalah dalam kumpulan pasukan semasa Piala Dunia 2010 adalah merupakan rekod yang patut digeruni oleh setiap pasukan.
Dengan aksi yang konsisten setiap tahun, Jerman sudah pasti mampu memberikan saingan sengit terhadap mana-mana pasukan yang mencabarnya.

Tanpa menafikan pasukan-pasukan seperti Argentina, Itali, Perancis dan lain-lain, Piala Dunia 2014 pastinya menjadi satu medan pertarungan bukan sahaja kepada pasukan yang bertanding, bahkan turut melibatkan penyokong-penyokong yang menharapkan pasukan pujaan mereka menang.
Jutaan mata akan tertumpu di kaca televisyen masing-masing bagi memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

Tidak kurang juga yang melihat Piala Dunia ini semata-mata untuk melihat kelincahan pemain pujaan mereka seperti Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar dan ramai lagi.

Di Malaysia, sudah pastilah kemeriahan Piala Dunia kali ini tertumpu di restoran-restoran dan kedai-kedai mamak seluruh negara. Kemeriahan Piala Dunia 2014 kali ini juga akan menzahirkan  mata-mata merah dan lebam mata di pejabat keesokan harinya dek kerana qiam Piala Dunia.

Namun di sebalik kemeriahan ini, ia juga merupakan suatu tamparan yang hebat buat Malaysia. Kehadiran negara seperti Bosnia, negara yang sedang melalui pasca perang dalam kelompok 32 pasukan Piala Dunia ini seharusnya membuka mata FAM.

FAM sepatutnya berasa malu dengan Bosnia yang merupakan negara yang sedang sibuk membangunkan negaranya tetapi masih mampu layak ke Piala Dunia!

 
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment